Tuesday 6 March 2012

Sejarah Islam

201 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w mempunyai dua orang tukang azan iaitu Bilal dan Ibnu Ummi Maktum yang buta

202 - Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar azan maka ucaplah sebagaimana yang disebut oleh tukang azan

203 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Apabila syaitan mendengar azan, dia akan lari bertempiaran sehingga tidak mendengarnya lagi. Setelah azan selesai, dia kembali lagi untuk menghasut. Begitu juga apabila mendengar iqamat. Dia akan lari sehingga tidak mendegarnya lagi dan sebaik sahaja iqamat selesai, dia kembali sekali lagi untuk menghasut

204 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Aku lihat Rasulullah s.a.w apabila memulakan sembahyang, baginda mengangkat kedua tangan hingga ke paras bahu. Begitu juga sebelum rukuk dan bangkit dari rukuk. Baginda tidak mengangkatnya di antara dua sujud

205 - Hadis Malik bin Huwairis r.a: Diriwayatkan daripada Abu Qilabah r.a katanya: Dia pernah melihat Malik bin Huwairis sembahyang. Beliau memulakannya dengan bertakbir serta mengangkat kedua tangannya. Apabila dia ingin rukuk, dia mengangkat kedua tangannya. Begitu juga apabila dia bangkit dari rukuk, dia mengangkat kedua tangannya. Setelah selesai dia menceritakan bahawa itulah cara yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w

206 - Hadis Abu Hurairah r.a: Diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman r.a katanya: Bahawa Abu Hurairah sembahyang mengimami para sahabat. Beliau bertakbir setiap kali turun dan bangkit semasa sembahyang. Sebaik sahaja selesai, beliau terus berkata: Demi Allah, sesungguhnya aku melakukannya adalah berdasarkan kepada apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w

207 - Hadis Imran bin Husain r.a: Diriwayatkan daripada Mutarrif bin Abdullah r.a katanya: Aku dan Imran bin Husain pernah sembahyang dengan berimamkan Ali bin Abu Talib. Apabila ingin sujud beliau mengucapkan takbir dan begitu juga bila bangkit dari sujud. Setelah selesai rakaat yang kedua, beliau bangkit serta bertakbir. Sebaik sahaja selesai sembahyang kami pun bersurai. Lalu Mutarrif berkata: Imran memegang tanganku sambil berkata: Sembahyang yang kita kerjakan tadi adalah sama sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ataupun katanya: Saidina Ali cuba mengingatkan aku bahawa ini adalah cara sembahyang yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w

208 - Diriwayatkan daripada Ubadah bin As-Somit r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tidak sah sembahyang orang yang tidak membaca surah al-Fatihah

209 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada sembahyang melainkan dengan bacaan

210 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w memasuki masjid, seorang lelaki juga memasukinya lalu mendirikan sembahyang. Setelah selesai, dia datang memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab salamnya lalu bersabda: Sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyang yang kamu lakukan tadi tidak sah. Lelaki tersebut kembali mendirikan sembahyang sebagaimana yang telah dilakukannya kemudian kembali menemui Rasulullah s.a.w dengan memberi salam kepada baginda. Lantas baginda menjawab salam lalu bersabda: Sembahyanglah sekali lagi kerana sembahyang yang kamu lakukan tadi tidak sah. Perkara ini berlaku sebanyak tiga kali sehingga akhirnya lelaki tersebut berkata: Oleh kerana engkau dibangkitkan untuk menyatakan kebenaran, bagaimanakah sebenarnya sembahyang dilakukan? Ajarkanlah padaku. Lalu baginda bersabda: Apabila kamu ingin mengerjakan sembahyang, mulakanlah dengan bertakbir kemudian bacalah ayat atau surah yang paling senang bagi kamu. Seterusnya rukuklah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah berdiri. Setelah itu sujudlah sehingga kamu betul-betul berada dalam keadaan tersebut dan bangkitlah untuk berada dalam keadaan duduk antara dua sujud. Itulah cara yang perlu kamu lakukan sehingga selesai sembahyang

211 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Aku pernah sembahyang bersama Rasulullah s.a.w, Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Khattab dan Othman bin Affan. Semasa sembahyang aku tidak pernah pun mendengar salah seorang dari mereka membaca:

212 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w bersama-sama kami, tiba-tiba baginda tersengguk-sengguk seperti mengantuk, kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Kami bertanya: Apakah yang melucukan kamu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Baru seketika aku diturunkan satu surah, lalu baginda membaca: Yang bermaksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingininya. Kemudian baginda bertanya: Kamu tahukah, apa yang dimaksudkan dengan al-Kausar? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Ia adalah sungai yang dijanjikan oleh Tuhanku, ianya mempunyai berbagai kebaikan. Ianya juga berbentuk sebuah kolam yang dikunjungi oleh umatku pada Hari Kiamat nanti iaitu untuk mengambil airnya. Disediakan bekas sebanyak bintang di langit. Kemudian salah seorang dari umatku ditarik dari kumpulan mereka. Lantas aku berkata: Wahai Tuhanku, dia adalah salah seorang umatku. Lalu Allah berfirman: Kamu tidak mengetahui apakah yang telah dilakukannya selepas kewafatanmu

213 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Semasa aku sembahyang di belakang Rasulullah s.a.w kami membaca: Kemudian pada suatu hari Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami: Sesungguhnya Allah s.w.t adalah Yang Selamat Sejahtera. Jadi, apabila salah seorang di antara kamu duduk ketika sembahyang, hendaklah dia membaca Apabila dia membacanya, nescaya keselamatan itu turut sama dikurniakan kepada semua hamba Allah yang soleh samada di langit ataupun di bumi. kemudian bolehlah dia membaca doa yang dikehendaki

214 - Hadis Ka'ab bin Ujrah r.a: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abu Laila r.a katanya: Ka'ab bin Ujrah pernah menemuiku dan berkata: Bolehkah aku berikan kepada kamu suatu hadiah? Tiba-tiba Rasulullah s.a.w sampai dan terus berjumpa kami. Lalu kami berkata: Kami telah mengetahui cara untuk mengucapkan salam kepadamu, tetapi bagaimana pula cara untuk kami ucapkan selawat? Baginda bersabda: Kamu bacalah:

215 - Diriwayatkan daripada Abu Humaid As-Saidi r.a katanya: Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya untuk kami ucapkan selawat untukmu? Baginda bersabda: Bacalah:

216 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila imam membaca kamu hendaklah membaca kerana sesungguhnya sesiapa yang membaca doa menyamai sebagaimana yang dibaca oleh para Malaikat, nescaya Allah s.w.t mengampunkan dosanya yang telah lalu

217 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila Imam mengucapkan amin, kamu hendaklah mengucapkan amin kerana sesungguhnya sesiapa yang mengucapkannya sebagaimana yang diucapkan oleh para Malaikat, nescaya akan diampunkan oleh Allah s.w.t segala dosa yang telah lalu

218 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w pernah terjatuh dari kuda yang menyebabkan kecederaan di bahagian kanan tubuh baginda. Kami cepat-cepat mendapatkan baginda lalu membawa pulang. Sebaik sahaja tiba waktu sembahyang, baginda sembahyang bersama kami dalam keadaan duduk. Ini menyebabkan kami juga mengikuti baginda dengan bersembahyang dalam keadaan duduk. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia sujud, sujudlah. Juga apabila dia bangun, bangunlah. Akhirnya apabila dia membaca bacalah dan apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah dalam keadaan duduk

219 - Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengadu sakit lalu para Sahabat mendapatkan baginda seterusnya membawa pulang. Baginda mendirikan sembahyang dalam keadaan duduk sebaliknya para Sahabat mengikutinya dalam keadaan berdiri. Baginda kemudiannya mengisyaratkan agar para Sahabat duduk. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Sesungguhnya seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia bangkit dari rukuk, bangkitlah dan apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, maka sembahyanglah juga dalam keadaan duduk

220 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seseorang imam itu dijadikan supaya diikuti. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang berbeza dengannya. Apabila dia bertakbir, takbirlah. Apabila dia rukuk, rukuklah. Apabila dia membaca bacalah dan apabila dia sujud, sujudlah. Apabila dia sembahyang dalam keadaan duduk, sembahyanglah juga dalam keadaan duduk

221 - Hadis Saidatina Aisyah r.a: Diriwayatkan daripada Ubaidillah bin Utbah r.a katanya: Aku bertanya Saidatina Aisyah r.a dengan berkata: Bagaimana dengan penyakit yang dihidapi oleh Rasulullah s.a.w? Beliau menjawab: Nabi s.a.w sakit sehingga tidak dapat berjalan. Baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum dan mereka sedang menunggumu wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya, lalu baginda berwuduk. Setelah selesai baginda cuba berdiri. Tapi malang baginda terjatuh dan pengsan. Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda lagi: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya lalu baginda berwuduk. Setelah itu baginda cuba berdiri, tetapi pengsan lagi. Sebaik sahaja pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Baginda bersabda: Tuangkan air ke dalam bekas untukku. Kami lakukannya dan baginda berwuduk lagi. Setelah itu baginda cuba berdiri, tetapi pengsan lagi. Setelah pulih baginda bersabda: Adakah orang ramai telah selesai mendirikan sembahyang? Kami menjawab: Belum, mereka masih menunggumu, wahai Rasulullah! Sementara itu orang ramai masih berkumpul di masjid menunggu Rasulullah s.a.w untuk mendirikan sembahyang Isyak yang sudah terlewat. Akhirnya baginda mengutuskan seseorang menemui Abu Bakar agar beliau mengimami sembahyang. Setelah utusan tersebut berjumpa Saidina Abu Bakar r.a dia terus berkata: Rasulullah s.a.w memerintahkan kamu agar mengimami sembahyang orang ramai. Saidina Abu Bakar r.a berkata: Aku bukanlah orang yang selayaknya untuk menggantikan tempat tersebut. Lalu meminta Saidina Umar r.a dengan katanya: Wahai Umar! Imamkanlah sembahyang orang ramai. Ubaidillah berkata: Saidina Umar menjawab: Kamu lebih layak berbanding dengan aku. Akhirnya Saidina Abu Bakar mengimami sembahyang mereka sehingga beberapa hari. Kemudian apabila Rasulullah s.a.w beransur pulih, baginda keluar dengan dibantu oleh dua orang Sahabat, salah seorangnya ialah al-Abbas untuk sembahyang Zuhur. Sementara itu Abu Bakar sedang sembahyang mengimami orang ramai. Apabila melihat Rasulullah s.a.w Abu Bakar cuba bergerak untuk berundur ke belakang lalu Nabi s.a.w memberi isyarat kepadanya supaya tidak berbuat demikian. Kemudian baginda bersabda kepada dua orang yang membantunya: Bawakan aku ke tepi Abu Bakar. Mereka berdua membawanya sehinggalah baginda duduk di tepi Abu Bakar. Abu Bakar tetap sembahyang dalam keadaan berdiri. Orang ramai tetap berimamkan Abu Bakar r.a manakala Nabi s.a.w mengikutinya dalam keadaan duduk

222 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Abu Bakar mengimami sembahyang orang ramai ketika Rasulullah s.a.w dalam kesakitan yang menyebabkan kewafatan baginda. Pada hari Isnin, ketika para sahabat sedang mendirikan sembahyang, Rasulullah s.a.w membuka tirai dan berdiri memandang kami. Wajah baginda putih berseri umpama kertas, lalu baginda tersenyum lebar hingga tertawa. Anas berkata: Kami yang sedang sembahyang menjadi tercegang kehairanan dan cukup senang hati kerana Rasulullah s.a.w keluar. Abu Bakar tanpa membuang masa terus berundur menghampiri saf kerana menyangka Rasulullah s.a.w keluar untuk sembahyang. Lalu baginda mengisyaratkan kepada mereka supaya menyempurnakan sembahyang. Anas berkata: Rasulullah s.a.w kemudiannya kembali memasuki bilik dan menjatuhkan tirai. Anas berkata: Hari tersebutlah, berlakunya kewafatan baginda Rasulullah s.a.w

223 - Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a katanya: Rasulullah s.a.w sakit dan semakin lama bertambah tenat. Baginda bersabda: Suruhlah Abu Bakar r.a agar sembahyang bersama orang ramai. Aisyah berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya Abu Bakar itu merasakan tidak layak kalau menduduki di tempatmu. Beliau tidak akan mampu sembahyang dengan orang ramai. Baginda bersabda lagi: Suruhlah Abu Bakar supaya sembahyang bersama orang ramai, kamu adalah seperti teman Nabi Yusuf di dalam menyusun kata-kata. Abu Musa berkata: Kemudian Abu Bakar sembahyang bersama-sama mereka selama Rasulullah s.a.w masih hidup

224 - Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad As-Saidi r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w mengunjungi Bani Amru bin Auf untuk mendamaikan pertikaian di antara mereka, maka tiba waktu sembahyang. Seorang tukang azan datang kepada Abu Bakar lalu berkata: Inginkah kamu mengimami sembahyang bersama orang ramai? Aku akan mengiqamatkannya. Abu Bakar menjawab: Ya. Kemudian Abu Bakar mendirikan sembahyang. Sewaktu orang ramai sedang sembahyang, Rasulullah s.a.w datang. Baginda menyelinap masuk ke saf pertama. Setelah melihat keadaan itu, orang ramai menepuk tangan, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Apabila orang yang menepuk tangan bertambah ramai, beliau menoleh dan melihat Rasulullah s.a.w. Baginda mengisyaratkan kepada Abu Bakar agar tetap berada di tempatnya. Abu Bakar mengangkat kedua tangannya memuji Allah s.w.t sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w lalu Abu Bakar berundur ke belakang sehingga menyamai dengan saf pertama dan Nabi s.a.w pula maju ke hadapan lalu meneruskan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, baginda bersabda: Wahai Abu Bakar! Apakah yang mencegahmu untuk tetap berada di tempatmu ketika aku menyuruhmu? Abu Bakar menjawab: Tidak layak bagi anak Abu Quhafah sembahyang di hadapan Rasulullah s.a.w. Kemudian baginda bersabda lagi: Mengapa kamu semua menepuk tangan? Barangsiapa yang mengalami sesuatu ketika sembahyangnya maka hendaklah dia bertasbih kerana apabila seseorang bertasbih dia akan menoleh. Menepuk tangan hanyalah untuk wanita

225 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Membaca tasbih adalah untuk lelaki dan menepuk tangan adalah untuk wanita

226 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w sembahyang mengimami kami. Setelah selesai sembahyang baginda bersabda: Wahai Si Polan! Mengapa kamu tidak mengelokkan sembahyangmu? Bukankah seseorang yang sembahyang itu akan memerhatikan bagaimana dia sembahyang kerana sesungguhnya dia sembahyang untuk dirinya sendiri. Demi Allah sesungguhnya aku dapat melihat ke belakangku sebagaimana aku melihat di hadapanku

227 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tunaikanlah rukuk dan sujud. Demi Allah, sesungguhnya aku dapat melihat kamu yang berada di belakangku dan boleh jadi baginda bersabda: Yang berada di belakang punggungku apabila kamu rukuk atau sujud

228 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: Adakah orang-orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam tidak takut kepalanya akan diganti oleh Allah dengan kepala kaldai?

229 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Luruskanlah saf-saf kamu kerana sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan sembahyang

230 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sempurnakanlah saf-saf. Sesungguhnya aku dapat melihat kamu yang berada di belakangku

231 - Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Rapikanlah saf semasa sembahyang kerana merapikan saf itu sebahagian dari keelokan sembahyang

232 - Diriwayatkan daripada Nu'man bin Basyir r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu ingin meluruskan saf-safmu atau Allah akan menggantikan wajahmu

233 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Seandainya manusia mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam azan dan saf pertama, kemudian mereka tidak mendapatkannya kecuali dengan cara mengundi di antara mereka, sudah tentu mereka mahu mengundi. Seandainya mereka mengetahui kelebihan takbir iaitu menyegerakan sembahyang, sudah pasti mereka akan berlumba-lumba mendapatkannya dan seandainya mereka mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam sembahyang Isyak dan sembahyang Subuh, sudah tentu mereka akan mendatanginya meskipun secara merangkak

234 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Seandainya kamu mengetahui atau mereka mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam saf yang di hadapan, nescaya kamu atau mereka akan mengadakan undian

235 - Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Aku melihat orang lelaki yang sembahyang di belakang Nabi s.a.w mengikatkan kain mereka pada leher kerana kain mereka terlalu sempit. Kemudian seseorang berkata: Wahai para wanita! Janganlah kamu mengangkat kepala kamu sebelum kaum lelaki itu bangun

236 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Apabila isteri salah seorang daripada kamu meminta izin untuk pergi ke masjid, maka janganlah menegahnya

237 - Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Kalau sekiranya Rasulullah s.a.w melihat apa yang dilakukan oleh kaum wanita sekarang, nescaya baginda melarang mereka pergi ke masjid, seperti dilarang kepada wanita Bani Israel. Yahya berkata: Aku bertanya kepada Amrah, adakah wanita Bani Israel itu dilarang pergi ke masjid? Maka beliau menjawab: Ya!

238 - Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a: Tentang firman Allah: Yang bermaksud: Dan janganlah kamu meninggikan suaramu dalam sembahyang dan jangan pula memperlahankannya. Katanya: Ayat ini diturunkan ketika Rasulullah s.a.w sedang bersembunyi di Mekah. Oleh itu apabila baginda sembahyang bersama para Sahabat, baginda meninggikan suaranya semasa membaca al-Quran. Apabila orang-orang musyrik mendengarnya, mereka memaki al-Quran, Zat yang menurunkannya dan orang yang membacanya. Maka Allah s.w.t berfirman kepada NabiNya s.a.w: Yang bermaksud: Janganlah kamu meninggikan suaramu di dalam sembahyangmu. Sehingga orang-orang musyrik mendengar bacaanmu. Yang bermaksud: Dan jangan pula memperlahankannya. Sehingga sahabatmu tidak mendengarnya. Perdengarkanlah al-Quran kepada mereka, tetapi jangan terlalu tinggi, sebaliknya carilah cara yang sederhana di antara keduanya. Jadi baginda membaca sederhana antara tinggi dan perlahan

239 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a: Tentang firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: Dan janganlah kamu meninggikan suaramu di dalam sembahyangmu dan jangan pula kamu memperlahankannya. Beliau berkata: Ayat ini ditujukan pada doa

240 - Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a: Tentang firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk membaca al-Quran. Beliau berkata: Dulu apabila Malaikat Jibril turun menyampaikan wahyu, maka Nabi s.a.w menggerakkan lidah dan bibir baginda untuk membaca wahyu tadi sehingga susah menggerakkannya. Keadaan baginda sedemikian dapat dilihat. Maka Allah berfirman: Yang bermaksud: Janganlah kamu menggerakkan lidahmu untuk membacanya dan ingin cepat menguasainya. Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya dan membacanya. Kamilah yang perlu mengumpulkannya di dadamu dan membacanya, lalu kamu membacanya. Yang bermaksud: Apabila Kami selesai membacanya, maka ikutilah bacaan itu. Kami menurunkannya, maka dengarkanlah baik-baik. FirmanNya Yang bermaksud: Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya. Kami menjelaskannya melalui lidahmu. Apabila Malaikat Jibril mendatangi baginda, baginda diam dan apabila Malaikat tadi iaitu Jibril telah pergi, barulah baginda membacanya sebagaimana telah dijanjikan oleh Allah kepada baginda

241 - Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah s.a.w belum pernah membaca al-Quran dan mengajar agama kepada jin dan belum pernah pula melihat mereka. Kisahnya, baginda berangkat bersama dengan rombongan para Sahabat menuju ke pasar Ukaz Pada ketika itu, tipu muslihat antara syaitan dan berita dari langit dihalangi dan mereka dilempari dengan panah api. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka, lalu berkata: Antara kami dan berita dari langit ditipu daya dan kami dilempari dengan panah api. Kaum mereka berpendapat: Keadaan itu adalah kerana ada sesuatu yang luar biasa berlaku. Pergilah ke bumi di sebelah timur dan barat. Telitilah apa yang menghalangi antara kita dan berita dari langit. Mereka pun pergi ke bumi di sebelah timur dan barat. Sekumpulan jin dari mereka menuju ke arah Tihamah iaitu mengikuti Nabi s.a.w. Baginda berada di bawah pokok tamar dalam perjalanan ke pasar Ukaz. Pada saat itu, baginda sedang sembahyang Subuh bersama para Sahabat. Ketika mereka mendengar al-Quran, mereka memerhatikannya, lalu berkata: Inilah yang menghalangi antara kita dengan berita dari langit. Maka mereka pun kembali kepada kaum mereka lalu berkata: Wahai kaumku. Yang bermaksud: Sesungguhnya aku telah mendengar bacaan yang mengkagumkan, yang boleh menunjukkan kita kepada kebenaran, maka aku beriman kepadanya dan tidak akan menyekutukan Tuhanku dengan siapa pun. Maka Allah s.w.t menurunkan kepada nabiNya Muhammad s.a.w ayat Yang bermaksud: Katakanlah, telah diwahyukan kepadaku, bahawasanya sekumpulan jin telah mendengar bacaan al-Quran

242 - Diriwayatkan daripada Abu Qatadah r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w berjemaah bersama kami pada sembahyang Zuhur dan Asar, baginda membaca surah al-Fatihah dan dua surah pada dua rakaat yang pertama. Kadang-kadang baginda menyaringkan bacaan ayatnya kepada kami. Baginda memanjangkan rakaat pertama dan memendekkan rakaat kedua ketika sembahyang Zuhur demikian juga ketika sembahyang Subuh

243 - Diriwayatkan daripada Abu Barzah r.a katanya: Rasulullah s.a.w membaca ayat-ayat al-Quran semasa sembahyang Subuh sebanyak enam puluh hingga seratus ayat

244 - Diriwayatkan daripada al-Bara' r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w bahawa dalam suatu perjalanan, ketika baginda mengerjakan sembahyang Isyak, baginda membaca di dalam salah satu dari dua rakaatnya Surah At-Tin

245 - Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Biasanya Muaz sembahyang bersama Nabi s.a.w kemudian beliau pulang mengimami kaumnya. Pada suatu malam, beliau sembahyang Isyak bersama Nabi s.a.w kemudian pulang mengimami kaumnya. Beliau mulai dengan membaca surah al-Baqarah. Maka ada seorang lelaki yang membatalkan sembahyangnya dengan memberi salam terlebih dahulu, kemudian mengerjakan sembahyang bersendirian lalu beredar. Orang ramai berkata kepadanya: Wahai Si Polan! Adakah kamu sudah menjadi munafik? Dia menjawab: Tidak! Demi Allah sesungguhnya aku akan mengadap Rasulullah s.a.w dan memberitahu akan hal ini. Orang tersebut mengadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami adalah seorang pemilik unta, penyiram tanaman dan kami berkerja pada siang hari. Sesungguhnya Muaz telah mendirikan sembahyang Isyak bersama kamu lalu pulang dan mendirikan sembahyang dimulai dengan membaca surah al-Baqarah. Rasulullah s.a.w menemui Muaz lalu bersabda: Wahai Muaz! Adakah kamu memesongkan sembahyang dengan membaca itu dan ini. Sufian berkata: Aku berkata kepada Amru sesungguhnya Abu Az-Zubair menceritakan kepadaku dari Jabir bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Bacalah surah Asy-Syams, Ad-Dhuha dan al-A'laa. Maka Amru berkata: Memang seperti itu

246 - Diriwayatkan daripada Abu Mas'ud al-Ansari r.a katanya: Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Aku akan datang lewat semasa sembahyang Subuh nanti disebabkan oleh Si Polan yang memanjangkan sembahyangnya. Aku belum pernah melihat Nabi s.a.w marah ketika memberi nasihat melebihi kemarahan baginda pada hari itu. Baginda bersabda: Wahai umatku sekalian! Sesungguhnya ada di antara kamu yang menjauhkan orang dari agama. Maka sesiapa di antara kamu menjadi imam, hendaklah dia mempercepatkan sembahyangnya kerana di belakangnya terdapat orang-orang tua, orang-orang yang lemah dan orang-orang yang mempunyai keperluan lain

247 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w pernah bersabda: Apabila salah seorang dari kamu menjadi imam, hendak dia mempercepatkan sembahyangnya kerana di belakangnya terdapat anak-anak kecil, orang-orang tua, orang-orang yang lemah dan orang sakit. Maka apabila mereka mendirikan sembahyang bersendirian, boleh sembahyang sesuka hatinya

248 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w mempercepatkan sembahyang sehingga menyempurnakannya

249 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah mendengar tangisan anak kecil bersama ibunya ketika baginda sedang sembahyang, lalu baginda pun membaca surah yang sedikit ayatnya atau surah yang pendek

250 - Diriwayatkan daripada al-Bara' bin Azib r.a katanya: Aku mengamati sembahyangku bersama Muhammad s.a.w. Maka aku mendapati baginda berdiri, rukuk, bangkit sesudah rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, sujud lagi serta baginda duduk antara salam dan selesai sembahyang, semuanya hampir sama

251 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Sesungguhnya aku tidak akan mempercepatkan sembahyang jika aku mengimami kamu sebagaimana aku melihat Rasulullah s.a.w mengimami kami. Thabit iaitu salah seorang perawi berkata: Anas melakukan sesuatu yang tidak pernah aku melihat kamu semua melakukannya. Apabila beliau mengangkat kepala dari rukuk, maka beliau berdiri tegak sehingga ada yang berkata dia telah lupa dan jika beliau mengangkat kepala dari sujud, maka dia diam sehingga ada yang berkata dia telah lupa

252 - Diriwayatkan daripada al-Bara' r.a katanya: Sesungguhnya mereka iaitu para Sahabat Sembahyang di belakang Rasulullah s.a.w. Maka apabila baginda mengangkat kepala dari rukuk, aku tidak melihat seorang pun yang masih membongkokkan badannya sehinggalah ketika Rasulullah s.a.w meletakkan dahi ke tempat sujud maka orang-orang yang berada di belakang baginda pun turut sujud

253 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika rukuk dan sujud, baginda biasanya memperbanyakkan bacaan: Baginda melaksanakan apa yang diperintahkan di dalam al-Quran

254 - Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Nabi s.a.w telah diperintahkan agar melakukan sujud dengan menggunakan tujuh anggota badan serta dilarang melapik dahi dengan rambutnya dan pakaiannya

255 - Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Luruskanlah badan ketika bersujud dan janganlah salah seorang dari kamu mendamparkan kedua lengannya iaitu merapatkan siku ke tanah seperti anjing mendamparkan kaki hadapannya

256 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Malik bin Buhainah r.a katanya: Sesungguhnya ketika Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang, baginda merenggangkan kedua tangannya sehingga ternampak putih di ketiak baginda

257 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya apabila Rasulullah s.a.w keluar untuk sembahyang pada Hari Raya, baginda memerintahkan supaya membawa lembing yang berhujung besi untuk dipacakkan di hadapan, kemudian baginda mendirikan sembahyang mengadap ke arah lembing tadi. Begitu juga para makmum di belakang baginda. Oleh kerana itulah, pada hari ini, pihak penguasa turut melakukan sedemikian

258 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w melintangkan Unta baginda di hadapan lalu sembahyang dengan menghadap ke arah unta tersebut

259 - Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah r.a katanya: Aku mengadap Nabi s.a.w di Mekah, sewaktu baginda berada di Abtah, di dalam suatu khemah bulat berwarna merah yang diperbuat dari belulang. Katanya lagi: Kemudian Bilal keluar dengan membawa air wuduk untuk baginda. Maka ada mereka yang mendapat air tadi dan ada pula yang hanya dipercikkan oleh orang lain. Katanya lagi: Kemudian Nabi s.a.w keluar dengan memakai pakaian merah, seolah-olah aku dapat melihat betis baginda yang putih. Beliau berkata lagi: Setelah itu baginda berwuduk lalu Bilal mengumandangkan azan. Aku memerhatikan mukanya bergerak ke kanan dan ke kiri ketika membaca kemudian dipacakkan sebatang tongkat untuk baginda lalu baginda pun maju kehadapan dan bersembahyang Zuhur dua rakaat. Kemudian seekor kaldai dan seekor anjing melintas di hadapan baginda tetapi baginda tidak menghalangnya. Seterusnya baginda mengerjakan sembahyang Asar dua rakaat dan baginda sentiasa mengerjakan sembahyang dua rakaat sehinggalah baginda sampai ke Madinah

260 - Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Aku pernah datang dengan menaiki kaldai betina ketika aku hampir baligh. Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sedang sembahyang bersama orang ramai di Mina. Aku melintasi di hadapan saf lalu turun dan membiarkan kaldaiku merumput. Kemudian aku masuk ke dalam saf dan tiada seorang pun yang mencela perbuatanku tadi
261 - Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang sembahyang, janganlah membiarkan seorang pun yang melintasi di hadapannya. Sekiranya ada orang yang melintas maka hendaklah dia menghalang semampunya. Sekiranya halangan tersebut tidak dihiraukan maka hendaklah dia membunuhnya kerana sesungguhnya orang tersebut adalah syaitan

262 - Diriwayatkan daripada Abu Juhaim r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya orang yang melintasi di hadapan orang sembahyang itu tahu betapa besar dosanya nescaya lebih baik dia berhenti selama 40 dari melintas di hadapan orang sembahyang. Abu An-Nadri berkata: Aku tidak pasti adakah baginda mengatakan 40 hari, 40 bulan atau tahun

263 - Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad As-Saidi r.a katanya: Jarak antara tempat sembahyang Rasulullah s.a.w dan dinding hanyalah cukup untuk kambing melintas

264 - Diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa' r.a katanya: Beliau memilih tempat untuk meletak mashaf iaitu al-Quran, lalu sembahyang di situ. Beliau menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w juga memilih tempat tersebut. Manakala jarak antara mimbar dan kiblat hanyalah cukup untuk laluan seekor kambing sahaja

265 - Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Nabi s.a.w pernah mengerjakan sembahyang pada suatu malam manakala aku pula pada ketika itu melintang di antara baginda dan kiblat seperti melintangnya jenazah

266 - Diriwayatkan daripada Maimunah r.a isteri Nabi s.a.w katanya: Rasulullah s.a.w pernah mengerjakan sembahyang, manakala aku pula berada di hadapan baginda dan aku dalam keadaan haid. Kadang-kadang pakaian baginda mengenai aku apabila baginda sujud

267 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w tentang sembahyang dengan memakai sehelai pakaian. Maka baginda bersabda: Adakah kamu semua memiliki dua helai pakaian?

268 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah seseorang dari kamu mengerjakan sembahyang dengan hanya memakai sehelai pakaian dan tidak ada sedikit pun pakaian yang menutupi kedua-dua bahunya

269 - Diriwayatkan daripada Umar bin Abu Salamah r.a katanya: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang di rumah Ummu Salamah secara berselimut iaitu membalut tubuh baginda dengan sehelai pakaian dan meletakkan kedua hujung kain tersebut di atas bahu baginda

270 - Diriwayatkan daripada Jabir r.a katanya: Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang secara membalut tubuh baginda dengan sehelai pakaian

271 - Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a katanya: Aku bertanya: Wahai Rasulullah! Masjid manakah yang pertama diasaskan atas muka bumi ini? Rasulullah menjawab: Masjidil Haram. Aku bertanya lagi: Setelah itu, masjid mana pula? Baginda menjawab: Masjidil Aqsa. Seterusnya aku bertanya: Berapa lamakah beza waktu di antara keduanya? Baginda menjawab: Empat puluh tahun. Walau pun begitu, di mana saja kamu berada apabila tiba waktu sembahyang, dirikanlah sembahyang kerana di situ juga merupakan masjid

272 - Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah al-Ansari r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Semua Nabi sebelumku hanya diutuskan khusus kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan kepada manusia yang berkulit merah dan hitam iaitu seluruh manusia. Dihalalkan untukku harta rampasan perang, sedangkan ianya tidak pernah dihalalkan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Disediakan untukku bumi yang subur lagi suci sebagai tempat untuk sujud iaitu sembahyang. Maka sesiapa pun apabila tiba waktu sembahyang walau dimana saja dia berada hendaklah dia mengerjakan sembahyang. Aku juga diberikan pertolongan secara dapat menakutkan musuh dari jarak perjalanan selama satu bulan. Aku juga diberikan hak untuk memberi syafaat

273 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Aku diberikan enam kelebihan berbanding Nabi-nabi lain; Aku diberi kata-kata yang ringkas tetapi mengandungi erti yang banyak iaitu al-Quran dan Hadis. Aku diberi pertolongan dengan cara dapat menakutkan musuh, dihalalkan bagiku harta rampasan perang dan dijadikan kepadaku bumi yang suci sebagai tempat sujud. Aku juga diutuskan kepada seluruh makhluk dan aku adalah sebagai penutup bagi seluruh para Nabi iaitu Nabi yang terakhir diutuskan

274 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w datang ke Madinah, baginda singgah di kawasan yang agak tinggi di Kota Madinah iaitu sebuah tempat yang bernama Bani Amru bin Auf. Baginda tinggal bersama mereka selama empat belas malam. Kemudian baginda menyuruh supaya memanggil pemimpin Bani Najjar. Lalu mereka pun datang membawa pedang masing-masing. Beliau berkata lagi: Aku seolah-olah melihat Rasulullah s.a.w di atas untanya, manakala Abu Bakar berada di belakang baginda, sementara pemimpin Bani Najjar mengelilingi baginda. Baginda membiarkan saja unta baginda itu membawanya hinggalah baginda tiba di halaman rumah milik Abu Ayyub. Beliau berkata lagi: Rasulullah s.a.w sembahyang walau di mana saja bila tiba waktu sembahyang, baginda sembahyang di dalam kawasan pemeliharaan kambing. Kemudian baginda memerintahkan supaya didirikan sebuah masjid. Beliau berkata lagi: Lalu baginda menyuruh memanggil pemimpin Bani Najjar itu, mereka pun datang. Lalu baginda bersabda: Wahai Bani Najjar! Nyatakan harga kebunmu ini kepadaku. Lalu mereka menjawab: Tidak! Demi Allah, kami tidak mahukan harganya kecuali kepada Allah. Lalu Anas berkata: Mengikut pengetahuanku, dalam kebun itu terdapat pokok kurma, kubur orang-orang Musyrikin dan runtuhan bangunan. Lantas Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya memotong pokok kurma, membongkar kubur orang-orang Musyrikin dan meratakan runtuhan bangunan. Beliau berkata lagi: Lalu mereka menjadikan pohon kurma tersebut sebagai arah kiblat dan sebuah batu besar sebagai bahu pintu gerbang. Beliau berkata lagi: Mereka melakukan pekerjaan berat itu sambil mengalunkan syair dan Rasulullah s.a.w ada bersama mereka. Mereka bersyair: Bermaksud: Ya Allah! Sesungguhnya tiada kebaikan yang terlebih baik melainkan kebaikan akhirat. Bantulah orang-orang Ansar dan orang-orang Muhajirin

275 - Diriwayatkan daripada al-Bara' bin Aa'zib r.a katanya: Aku telah sembahyang bersama Nabi s.a.w menghadap ke Baitulmuqaddis selama enam belas bulan sehinggalah diturunkan ayat yang terdapat dalam surah al-Baqarah: Yang bermaksud: Dan di mana saja kamu berada, maka palingkanlah mukamu ke arahnya. Ayat tersebut diturunkan selepas Nabi s.a.w menunaikan sembahyang. Setelah itu seorang lelaki dari satu kaum berjalan-jalan dan secara kebetulan dia mendapati beberapa orang dari kaum Ansar masih lagi sembahyang dengan menghadap ke arah Baitulmuqaddis. Lalu dia menceritakan tentang ayat tersebut, lantas mereka memalingkan muka mereka ke arah Kaabah

276 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Ketika orang ramai sedang menunaikan sembahyang Subuh di Quba', tiba-tiba datang seorang lelaki kepada mereka lalu memberitahu bahawa ayat yang memerintahkan supaya mereka menghadap ke arah Kaabah telah di turunkan kepada Rasulullah s.a.w malam tadi, maka hadapkanlah ke arahnya. Sedangkan pada masa itu mereka semua sedang menghadap ke arah Syam. Lantas mereka semua berpaling menghadap ke arah Kaabah

277 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Ummu Habibah dan Ummu Salamah pernah menyebut tentang sebuah gereja yang pernah kami lihat di Habsyah iaitu Ethiopia yang penuh dengan gambar-gambar kepada Rasulullah s.a.w, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya mereka iaitu penduduk Ethiopia mempunyai kebiasaan apabila ada salah seorang lelaki yang soleh dari kalangan mereka meninggal dunia, maka mereka akan mendirikan sebuah masjid di atas kuburnya dan mereka juga membuat beberapa gambar. Mereka adalah sejahat-jahat makhluk di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak

278 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w diserang sakit yang menyebabkan baginda tidak boleh bangun. Baginda pernah bersabda: Allah telah mengutuk orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur Nabi-nabi mereka sebagai masjid iaitu tempat sembahyang. Aisyah berkata: Jika tidak kerana sabda Nabi tersebut pasti maqam Rasulullah juga dijadikan masjid kerana mereka tidak takut untuk menjadikan maqam Nabi sebagai masjid

279 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Allah telah memusuhi orang-orang Yahudi yang telah menjadikan kubur Nabi-nabi mereka sebagai masjid

280 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Tatkala Rasulullah s.a.w ditimpa sesuatu kesusahan, akan terpamirlah kegelisahan pada raut wajah baginda. Begitu juga apabila segala kegelisahan itu telah hilang, akan terpancarlah ketenangan pada raut wajah baginda. Baginda bersabda: Allah melaknati orang-orang Yahudi dan Nasrani yang telah menjadikan kubur Nabi-nabi mereka sebagai masjid. Lalu baginda memberi peringatan dari melakukan perbuatan seumpama itu

281 - Hadis Othman bin Affan r.a katanya: Beliau pernah berkata semasa menyelesaikan permasalahan yang timbul dikalangan orang ramai ketika Masjid Rasulullah s.a.w dibina: Kamu telah berlebih-lebihan. Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda: Sesiapa yang membangunkan sebuah masjid kerana Allah Taala (Bukair berkata: Kalau tidak silap aku beliau berkata: Untuk mencari keredaan Allah) maka Allah akan membangunkan sebuah rumah untuknya di dalam Syurga

282 - Hadis Saad bin Abi Waqqas r.a: Diriwayatkan daripada Mus'ab bin Saad r.a katanya: Aku pernah sembahyang di sisi ayahku. Aku rapatkan tangan antara kedua lututku. Lalu ayahku berkata kepadaku: Letakkan kedua telapak tanganmu pada lututmu. Kemudian aku melakukan hal itu sekali lagi. Lalu ayah memukul tanganku sambil mengatakan: Sesungguhnya kita dilarang dari melakukan ini iaitu meletakkan tangan di antara dua lutut dan kita diperintahkan supaya meletakkan tangan di atas lutut

283 - Diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Mas'ud r.a katanya: Kami mengucapkan salam kepada Rasulullah s.a.w, pada waktu itu baginda sedang sembahyang. Baginda menjawab salam kami. Ketika kami kembali dari rumah Najasyi, kami sekali lagi mengucapkan salam kepada baginda. Tetapi kali ini baginda tidak menjawabnya iaitu selepas diturunkan ayat yang melarang dari bercakap semasa sembahyang. Lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bukankah kami pernah mengucapkan salam kepadamu ketika kamu sedang sembahyang dan kamu menjawab salam kami? Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam sembahyang terdapat kesibukannya tersendiri

284 - Diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam r.a katanya: Kami pernah bercakap-cakap di dalam sembahyang. Seseorang itu boleh bercakap-cakap dengan temannya yang berada di sisi semasa sembahyang. Akhirnya diturunkan ayat Yang bermaksud: Dirikanlah sembahyang kerana Allah dengan khusyuk. Jadi kami diperintahkan supaya diam dan tidak lagi bercakap-cakap semasa sembahyang

285 - Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah mengutusku kerana sesuatu hajat. Kemudian aku kembali mendapatkan baginda, ketika itu baginda sedang berjalan (Mengikut riwayat Qutaibah: Baginda sedang sembahyang), lalu aku mengucapkan salam kepada baginda, namun baginda hanya memberikan isyarat kepadaku. Apabila baginda selesai dari menunaikan sembahyang, baginda memanggilku lalu bersabda: Ketika kamu mengucapkan salam tadi, aku sedang sembahyang. Pada waktu itu Rasulullah s.a.w sembahyang dengan menghadap ke arah timur

286 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Ifrit dari kalangan jin telah datang untuk menggodaku semalam agar aku lalai ketika sembahyang. Tetapi Allah telah melindungi aku daripadanya sehingga aku dapat menangkapnya iaitu menjerat lehernya. Aku mempunyai keinginan untuk mengikatnya di salah satu tiang masjid hingga ke waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Kemudian aku menyebutkan kata-kata saudaraku Nabi Sulaiman a.s: Tuhanku! Ampunilah aku, berikanlah kepadaku suatu kekuasaan yang tidak akan dicapai oleh seorang pun selepasku. Maka akhirnya Allah melepasnya secara menolak Ifrit tersebut dalam keadaan rugi, hina dan lemah

287 - Diriwayatkan daripada Abu Qatadah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah sembahyang sambil menggendong. Menurut keterangan Abu al-As bin Rabi', ketika Rasulullah berdiri, Umamah puteri Zainab binti Rasululah s.a.w yang bapanya bernama Abi al-As bin ar-Rabi' digendong oleh baginda dan ketika baginda sujud, Umamah akan diturunkannya

288 - Hadis Sahl bin Saad r.a: Diriwayatkan daripada Abdul Aziz bin Abu Hazim r.a katanya: Beberapa orang telah datang menemui Sahl bin Saad. Mereka bertelingkah mengenai mimbar dari jenis kayu apakah ianya diperbuat. Sahl berkata: Demi Allah! Saya tidak tahu kayu dari jenis apakah mimbar tersebut diperbuat dan siapakah yang membuatnya. Tetapi aku pernah melihat Rasulullah s.a.w pada hari pertama baginda duduk di atas mimbar tersebut. Aku berkata kepadanya: Wahai Ibnu Abbas ceritakanlah kepada kami. Ibnu Abbas berkata: Rasulullah s.a.w telah mengutus kami kepada isteri Abu Hazim. Sesungguhnya beliaulah yang akan menamakannya suatu hari nanti, panggil tukang kayumu supaya dia membuatkan untukku satu mimbar yang akan aku gunakan untuk berkhutbah di hadapan orang ramai. Maka dibuat satu mimbar yang mempunyai tiga anak tangga. Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan supaya mimbar tersebut diletakkan pada tempatnya, mimbar tersebut diperbuat dari kayu Cemara hutan. Sesungguhnya aku melihat Rasulullah s.a.w berdiri di atasnya dan bertakbir, lalu orang ramai pun bertakbir selepas baginda bertakbir, baginda masih berada di atas mimbar, kemudian baginda bangun dari rukuk dan turun dari mimbar sambil berundur ke belakang sehinggalah baginda sujud di kaki mimbar, kemudian baginda kembali semula ke atas mimbar hinggalah selesai sembahyang. Setelah itu baginda menghadap ke arah orang ramai sambil berkata: Wahai umatku! Aku melakukan begini supaya kamu mengikuti aku dan kamu dapat mempelajari bagaimana cara aku sembahyang

289 - Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya baginda s.a.w melarang seseorang yang sembahyang sambil meletakkan tangan di pinggang

290 - Diriwayatkan daripada Mu'aiqib r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w telah menyebut mengenai masalah menyapu di dalam masjid iaitu menyapu pasir halus. Baginda bersabda: Sekiranya kamu memang terpaksa melakukannya, maka lakukanlah sekali sahaja

291 - Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melihat air liur di dinding yang menghadap ke arah kiblat lalu baginda menyapunya. Kemudian baginda berpaling kepada para Sahabat dan bersabda: Semasa kamu sembahyang, kamu janganlah meludah ke depan kerana sesungguhnya Allah sedang menghadap ke arah kamu semasa kamu sembahyang

292 - Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w melihat hingus di arah kiblat masjid, lalu baginda menyapunya dengan batu kecil. Kemudian baginda melarang seseorang dari meludah ke kanan atau ke depan, tetapi bolehlah meludah ke kiri atau ke bawah telapak kaki kirinya

293 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w melihat air liur, hingus atau kahak di dinding kiblat lalu baginda menyapunya

294 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Semasa salah seorang daripada kamu sembahyang, sesungguhnya dia sedang memohon pertolongan dari Tuhannya. Janganlah dia meludah ke depan atau ke kanannya. Tetapi hendaklah dia meludah ke bawah telapak kaki kirinya

295 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Membuang hingus di dalam masjid adalah satu dosa dan kifaratnya ialah dengan menimbusnya

296 - Hadis Anas bin Malik r.a: Diriwayatkan daripada Said bin Yazid al-Azdiy r.a katanya: Aku pernah bertanya Anas bin Malik: Adakah Rasulullah s.a.w pernah sembahyang dengan memakai kasut? Anas menjawab: Ya!

297 - Diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w pernah mendirikan sembahyang dengan memakai pakaian yang bercorak. Kemudian baginda bersabda: Aku merasa terganggu kerana corak yang ada pada baju ini. Bawalah baju ini kepada Abu Jahmin dan ambilkan untukku baju lain

298 - Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Apabila makanan telah siap dihidangkan dan sembahyang hendak didirikan, maka hendaklah kamu makan terlebih dahulu

299 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila makanan dihidangkan kepada kamu sedangkan sembahyang hendak didirikan, maka hendaklah kamu makan terlebih dahulu. Janganlah kamu terburu-buru hinggalah kamu selesai makan

300 - Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda ketika dalam peperangan Khaibar: Sesiapa yang memakan dari pohon ini iaitu bawang putih maka janganlah dia memasuki masjid